Thursday, April 8, 2010

138 Pejabat Penerangan Akan Dibekalkan Dengan Peralatan Jalur Lebar

JEMPOL, 6 April (Bernama) -- Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang menggariskan jadual spesifik berhubung tempat-tempat yang akan disediakan perkhidmatan jalur lebar bagi kemudahan orang ramai.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata lokasi yang dikenal pasti ialah tempat-tempat yang sering dikunjungi masyarakat.

"Sebanyak 138 pejabat Penerangan akan dibekalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan peralatan jalur lebar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan jalur lebar oleh REDtone International Bhd di Sekolah Menengah Kebangsaan Lui Barat dekat sini Selasa.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata selama ini pejabat Penerangan jarang dikunjungi orang ramai kerana hanya menyediakan akhbar dan majalah, sedangkan generasi sekarang perlu bimbingan dan kemudahan jalur lebar.

Katanya kira-kira RM1 bilion diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan komputer dan jalur lebar di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara, badan bukan kerajaan, persatuan belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK); badan budaya; kawasan Felda, kampung tradisional, kampung baru dan ladang.

"Agihan komputer itu dijangka selesai menjelang hujung tahun, maka penjurusan dan penembusan kita menerusi jalur lebar akan melebihi tahap 50 peratus berbanding 34 peratus pada hari ini," katanya.

Mengenai pembinaan menara jalur lebar, beliau berkata kementerian meminta kerajaan negeri menimbang semula syarat-syarat yang selama ini telah menghindarkan kesegeraan menyediakan perkhidmatan jalur lebar.

"Maksud saya ada kerajaan negeri menggunakan yuran yang terlalu tinggi dan mengenakan syarat-syarat yang bukan-bukan terhadap SKMM sehingga SKMM tidak dapat membina menara tersebut atau meletakkan pemancarnya di bangunan tertentu.

"Saya telah mengemukakan nota kepada kerajaan supaya majlis atau mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dapat menimbangkan isu ini secara spesifik," katanya.

Katanya beliau juga telah meminta kerajaan negeri menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewujudkan undang-undang kecil berhubung dengan jalur lebar.


-- BERNAMA

Tayangan Gambar